Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Projek Pensel Model Pembangunan Pendidikan Luar Bandar

By 6 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Iswandy Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 06 Jan (Malaysiaaktif) – Persatuan Projek Pensel menjadi model terbaik pembangunan modal insan luar bandar yang menitikberatkan soal pendidikan anak-anak terutamanya di kawasan pedalaman.

Pengerusi Persatuan Persatuan Projek Pensel Norina Umoi Utot, berkata beliau cukup berbangga kerana Projek Pensel yang telah diperjuangkan sejak tahun 2016, kini telah mencapai objektifnya bagi mengangkat martabat pendidikan anak-anak di pedalaman serta meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Projek Pensel yang diwujudkan ini amat menitikberatkan aspek pendidikan di negeri ini sebagai teras pembangunan modal insan bagi mewujudkan rakyat celik membaca, menulis, mengira untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2030.

“Kini, kita (Projek Pensel) semakin selesa untuk mengorak langkah bagi merealisasikan misi dan visi terhadap golongan sasaran terutamanya melibatkan pendidikan awal dan sekolah rendah di kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan Sekolah yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Projek Pensel bertempat di Rumah Mengga, Batu Besai, di sini baru-baru ini.

Menurut Norina, matlamat itu akan berjaya dicapai melalui tanggungjawab dan cabaran besar dipikul warga pendidik serta ibu bapa.

“Melihat kepada penerimaan komuniti luar bandar terhadap aktiviti kelolaan Projek Pensel, ia memberi semangat jitu kepada mereka untuk berusaha gigih lagi merubah tahap pencapaian pendidikan anak-anak khasnya yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.

“Kita juga ingin melihat komuniti rumah panjang khasnya sedar akan perubahan dan permintaan terhadap keperluan pendidikan supaya boleh keluar daripada kepompong kemiskinan tegar di luar bandar,” tegas Norina.

Seramai 80 orang pelajar dari rumah panjang terbabit telah menerima sumbangan seperti beg, pakaian, alat tulis dan wang perbelanjaan sekolah.

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda