Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Sejuta Kenderaan Masuk Ke Kelantan

By 21 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Nur Shafira Mat Hussin /Hafizi Hasan (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak sejuta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena cuti persekolahan dan sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 25 dan 26 Februari kelak, ujar Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan selepas melancarkan Program Ops Selamat 16/2020 sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di Hadapan Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh.

“Jumlah tersebut merupakan anggaran kebiasaan untuk Negeri Che Siti Wan Kembang ini memandangkan ramai perantau mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga mahupun kenduri,”tambahnya.

“Dalam keghairahan orang awam untuk pulang ke kampung halaman atau ke mana-mana destinasi sekalipun, perkara utama yang perlu dilakukan adalah untuk merancang terlebih dahulu perjalanan,”katanya.

“Perancangan yang baik dengan pemilihan waktu yang sesuai akan mengelakkan pemanduan tergendala akibat kesesakan lalu lintas mahupun perkara yang akan memberikan risiko kepada pengguna jalan raya,”jelasnya.

“Apabila berada di atas jalan raya, terdapat pelbagai risiko yang akan memberikan kesan kepada pemandu dan penumpang, oleh itu adalah penting untuk setiap pemandu sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam pemanduan,”jelasnya lagi.

Datuk Hasanuddin ketika ditemubual pemberita

Datuk Hasanuddin ketika ditemubual pemberita

“Di samping itu juga, pastikan anda membawa bekalan makanan dan keperluan yang mencukupi bagi perjalanan yang jauh serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik,”katanya.

Mengulas lanjut, Hasanuddin turut menasihati orang awam yang akan pulang ke kampung atau ke destinasi tertentu untuk mengambil langkah keselamatan sewajarnya untuk kediaman masing-masing.

“Ops Selamat ini bukan sahaja menekankan aspek pemanduan di jalan raya malah usaha untuk mendidik masyarakat supaya prihatin dengan sebarang risiko jenayah seperti pecah rumah,”katanya.

“Merujuk statistik Ops Selamat 14/2019 yang lalu, negeri Kelantan mencatatkan 495 kes kemalangan jalan raya yang mana mengakibatkan 11 kematian, lebih mendukacitakan, masuk hari ketiga Ops Selamat 16/2020 ini dilaksanakan ia telah mencatat 3 kes melibatkan kematian,”kata Hasanuddin.

“Bagi persediaan untuk Ops Selamat 16/2020 ini pihak PDRM Kelantan telah menyenaraikan 30 kawasan tumpuan yang kerap mengalami risiko kemalangan jalan raya antara nya adalah Jalan Kota Bharu – Pasir Puteh, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas dan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai,” ujar Hasanuddin lagi.

Orang awam, Azri Leong Abdullah, 55, berharap perantau mahupun pengguna jalan raya agar peka dan prihatin dengan keadaan cuaca dan jalan raya kerana ia bukan sahaja melibatkan nyawa pemandu bahkan risiko kepada penumpang juga.

Ops Selamat ini adalah kolaborasi jabatan dan agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

-NAZ

Tinggalkan komen anda