Skip to main content
Berita TimurTerengganu

‘‘Kampung Ku Selamat’’ Tingkat Kesedaran Komuniti Cegah Jenayah

By 21 Januari 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 21 Jan (Malaysiaaktif) – “Masyarakat perlu memainkan peranan dalam usaha mencegah dan membendung jenayah di sekitar kawasan kediaman masing-masing dengan memberikan kerjasama kepada pihak polis antaranya melalui keterlibatan dalam rondaan bersama pihak polis dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta program- program pendidikan,” ujar Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Beliau yang berucap ketika merasmikan Pelancaran program “Kampung Ku Selamat” Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di Dewan Orang Ramai, Kampung Seberang Pintasan, di sini turut mengingatkan masyarakat mengenai kesedaran tentang kepentingan kerjasama antara rakyat dan pihak polis dalam memastikan sesebuah kawasan itu bebas daripada jenayah bertepatan dengan slogan yang telah dikekalkan sejak lima tahun lalu ‘‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.’’

Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Aidi Ismail ketika berucap merasmikan Program "Kampung Ku Selamat" di Dewan Orang Ramai, Kampung Seberang Pintasan, Dungun

Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Aidi Ismail ketika berucap merasmikan Program “Kampung Ku Selamat” di Dewan Orang Ramai, Kampung Seberang Pintasan, Dungun

“Program Community Policing ‘Kampung Ku Selamat’ merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu khususnya untuk mengurangkan kejadian jenayah di sesuatu kawasan yang telah dikenalpasti demi meningkatkan tahap keselamatan serta mengurangkan rasa takut penduduk setempat dari menjadi mangsa jenayah.

“Bagi menyalurkan maklumat khususnya melibatkan kes-kes jenayah satu kaedah melalui ‘Volunteer Smart Phone’ atau ringkasnya VSP telah diperkenalkan dalam menggalakkan orang ramai untuk menghantar sebarang maklumat sama ada secara ringkasan mahupun video atau gambar kepada bilik gerakan yang beroperasi selama 24 jam setiap hari,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini semalam.

Penduduk Kampung Seberang Pintasan, Dungun mengambil peluang membayar saman yang dikurangkan sebanyak 50% oleh pihak polis

Penduduk Kampung Seberang Pintasan, Dungun mengambil peluang membayar saman yang dikurangkan sebanyak 50% oleh pihak polis

Menurut Aidi, maklumat yang diterima akan disalurkan kepada jabatan-jabatan dan daerah-daerah yang terlibat untuk tindakan segera.

“VSP boleh di akses melalui ‘smart phone’ masing-masing melalui aplikasi playstore.  Aplikasi ini nyata telah memberi impak kejayaan kepada PDRM khususnya berkaitan pencegahan dadah dan memudahkan permohonan rondaan dan lawatan pihak polis sekiranya meninggalkan kediaman dalam tempoh yang lama,” ulasnya.

Salah seorang peserta bertanya ketika sesi dialog antara Ketua Polis Negeri Terengganu bersama pemimpin masyarakat dan penduduk setempat

Salah seorang peserta bertanya ketika sesi dialog antara Ketua Polis Negeri Terengganu bersama pemimpin masyarakat dan penduduk setempat

Sehingga kini, seramai 70, 874 (2019) telah mendaftar sebagai VSP di negeri ini berbanding 31,520 pada tahun sebelumnya. Selain itu, bayaran saman trafik PDRM pada kadar 50% juga ditawarkan kepada penduduk yang hadir ke program tersebut.

Turut hadir pada program ialah Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Wan Ramli, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah serta ketua-ketua agensi daerah Dungun, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs) dan pemimpin setempat.

-ii-

Tinggalkan komen anda