
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman/Salawati Md Shariff (Seberang Perai Utara)
PENAGA, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 344 pelajar di Negeri Pulau Pinang telah terlibat dalam Program Sarapan Percuma (PSP) fasa pertama yang dilaksanakan baru-baru ini. Program ini adalah merupakan satu penambahbaikan kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diperkenal Kementerian Pelajaran Malaysia sejak 1979.
Penambah baikan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ini adalah bertujuan untuk memberikan makanan tambahan berkhasiat kepada murid-murid dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau kurang berkemampuan di sekolah rendah.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Zulkifli Zin ketika ditemui memaklumkan penambah baikan dilaksana termasuklah pemilihan kriteria murid dari golongan miskin berbanding hanya miskin tegar sebelum ini.
“Kategori miskin berdasarkan Jadual Paras Garis Kemiskinan Nasional iaitu miskin tegar di mana pendapatan isi rumah RM604 dan manakala kategori miskin pendapatan isi rumah RM960.
“Bagi Negeri Pulau Pinang terdapat lima buah sekolah yang terpilih iaitu bagi Daerah Seberang Perai Utara adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Muda, Daerah Timur Laut adalah SK Jelutong Barat dan Daerah Barat Daya adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Chye.
“Manakala bagi Daerah Seberang Perai Tengah, dua buah sekolah yang dipilih iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Pyre dan SK Sungai Rambai. Keutamaan diberikan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai peratus tertinggi dari golongan B40 di setiap negeri dan mengambil kira semua jenis sekolah iaitu SK, SJKC, dan SJKT,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Menurut Guru Besar SK Kuala Muda Hasnah Ismail, memaklumkan agihan makanan itu berlangsung pada waktu pagi iaitu bermula pukul 7 pagi hingga 7.30 pagi, sementara bagi persekolahan sesi petang antara pukul 12.30 hingga 2.00 petang.
“Kos pelaksanaan program ini sama seperti RMT sedia ada iaitu kos bagi setiap murid di semenanjung ialah RM2.50 dan RM3.00 di Sarawak, Sabah dan Labuan,” katanya.
PSP adalah usaha menerapkan pengambilan sarapan pagi dan gaya hidup sihat agar murid-murid lebih fokus ketika sesi pembelajaran.
-ii-