
Laporan/ foto: Taufiq Firdaus Md. Nor (Besut)
BESUT, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Gentar, takut dan kurang yakin untuk bercakap dihadapan ramai orang? Perasaan ini dihadapi oleh ramai orang termasuk individu berpendidikan tinggi.
Tidak semua orang mampu berdiri di hadapan orang ramai dan memberikan ucapan dengan penuh keyakinan.
Oleh yang demikian, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Besut Terengganu, telah menganjurkan program “Sharing Experience to Excellence 4.00” bagi menangani masalah ini.
Program yang melibatkan 50 orang pelajar ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat SMK Putra.
Program yang turut disertai oleh Pengetua Sekolah, Mohamad Idris ini merupakan antara usaha pihak Pengetua serta Pengurusan dan Pentadbiran sekolah berkenaan dalam memberi pendedahan kepada pelajar Tingkatan Enam untuk membina semangat jati diri dan keyakinan kendiri yang lebih utuh.

Penyelaras Kelab Malaysiaku, Ahmad Syafri Husnaini ketika mengendalikan slot Pengucapan Awam dan Pengenalan Pengacaraan Majlis
Antara program yang dilaksanakan adalah perkongsian ilmu Pengucapan Awam dan Menjadi Insan Hebat.
“Selain meningkatkan pengetahuan dengan perkongsian ilmu dalam program ini, ia juga menjadi salah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Kami berharap program sebegini dapatlah kami praktikan di masa akan datang pada aktiviti luar bersama masyarakat,” ujar Mohd Firdaus Ahmad, salah seorang peserta pelajar Tingkat Enam.

Peserta Sharing Experience to Excellence 4.00 bergambar kenangan bersama penceramah jemputan dan pihak pengurusan sekolah
Sesi “Pengucapan Awam dan Pengenalan Pengacaraan Majlis” telah disampaikan oleh Penyelaras Kelab Malaysiaku Jabatan Penerangan Terengganu, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad, manakala sesi perkongsian pengalaman “Menjadi Insan Hebat” diteraju oleh Sarjana Falsafah Geografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Safix Lamsah.
-ii-