Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

TM Kendali Ujian 5G SA di Spektrum C-band dan 700 MHz Secara Serentak

By 8 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Telekom Malaysia Bhd (TM) berjaya menjalankan ujian Rangkaian 5G khusus Standalone (SA) di kedua-dua spektrum C-band dan 700 MHz secara serentak di rangkaian teras 5G berpusat.

Ini susulan selepas beberapa ujian pertama yang dijalankan TM baru-baru ini. Syarikat itu telah mengemas kini nod dan peranti Rangkaian Akses Radionya (RAN) untuk menyokong rangkaian 5G khusus 700 MHz SA; memasang rangkaian khusus 700 MHz 5G SA; mencapai 1.5Gbps (gigabit sesaat) bagi ujian kelajuan 5G yang dijalankan di tapak ‘use case’ 5G; dan melengkapi Langkawi dengan 5G, menjadikan ia Pulau Pelancongan Pintar pertama di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata seni bina SA membawakan keupayaan baharu 5G seperti fungsi-fungsi kependaman ultra rendah dan seni bina rangkaian canggih, yang akan membuka banyak use case baharu terutamanya bagi perusahaan.

“Ditambah dengan spektrum 700 MHz, ini boleh memastikan peningkatan liputan di seluruh negara, di mana banyak perkhidmatan 5G baharu boleh disediakan; yang seterusnya menyediakan capaian lebih meluas kepada penduduk bagi menangani jurang digital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Kamarul Anuar berkata sepktrum 700 MHz itu akan membolehkan penggunaan 5G yang pantas dan meluas, dan bersama dengan spektrum C-band, rangkaian itu akan bersedia menerima trafik pelbagai pengendali rangkaian selain perusahaan, sejajar dengan sasaran syarikat tersebut untuk menjadi penyedia prasarana rangkaian 5G negara.

“Banyak kejayaan pertama yang dicapai oleh TM dalam beberapa minggu kebelakangan ini adalah bukti komitmen kami untuk mempercepatkan penyediaan perkhidmatan 5G di seluruh negara.

“Ini bermakna 5G boleh disediakan dengan secara cekap bagi manfaat pelancaran dan negara,” katanya.

TM juga mengambil bahagian dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang ketika ini dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Syarikat itu telahpun memulakan sejumlah 11 use case di Langkawi dan menjalankan operasi Pusat Kawalan Operasi Bersepadu, juga dikenali sebagai Pusat Kawalan 5G (5GCC).

Bagi 5GDP di Langkawi, TM menggunakan jumlah use case 5G tertinggi dalam kalangan syarikat telekomunikasi yang menyertainya dan semua rangkaian 5G dan tapak use case dipantau menerusi papan pemuka di 5GCC sepanjang masa oleh pasukan teknikal pakar TM.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda