
Laporan/foto: RA Othman/Afnan Hakimi Ab Aziz (Marang)
MARANG, 29 Jan (Malaysiaaktif) – ‘Pemandangan yang tenang, suasana yang menyenangkan.’ Itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan keadaan di Kampung Pulau Batu Putih, Marang yang kini telah menjadi destinasi yang tular sehingga ke peringkat antarabangsa.
Keindahan dan keunikan destinasi Kampung Batu Putih ini telah menjadi tarikan pelancong dan juga rakyat Malaysia serata negeri untuk berkunjung ke sini.
Menurut peniaga air nira yang juga penduduk asal di Kampung Batu Putih, Amira, 45, kebanyakan yang berkunjung ke sini adalah orang luar dari Marang seperti Kuala Terengganu, Besut dan daerah lain. Malah kunjungan orang ramai dari negeri Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan misalnya turut memeriahkan lagi destinasi ini terutama pada musim cuti persekolahan atau pada hari cuti umum perayaan.
“Kami yang berniaga di sini memang mengalu-alukan kedatangan orang ramai kerana terdapat pelbagai tarikan di sini. Para pengunjung boleh belajar menjahit atap nipah, membuat dodol, memancing dan juga melihat sendiri bagaimana air tuak atau nira dihasilkan,” ujar Linda yang merupakan antara peniaga di situ.
Di sekitar Dataran Batu Putih (DBP) juga, terdapat barisan gerai-gerai jualan dengan dekorasi yang menarik serta tempat duduk yang disediakan untuk pengunjung yang berminat mencuba juadah yang disediakan.
Kampung Batu Putih pada asalnya hanyalah sebuah kampung tersorok dan sesetengahnya tidak mengetahui kewujudannya. Namun, hasil inisiatif 16 keluarga asal komuniti yang menetap di sini telah merubah pemandangan “hutan” bertukar menjadi tempat yang unik dengan ciri-ciri yang menarik minat orang ramai untuk mengenalinya.
Malah Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, juga melihat idea dan pelaksanaan destinasi pelancongan viral kampung ini juga sebagai satu anjakan paradigma yang hebat sekaligus mengubah ekonomi penduduknya.
“Saya melihat potensi yang besar boleh dimajukan di sini. Oleh itu, sebagai menyahut cabaran motto “Marang Hebak Tobat Pong,” kita menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh komuniti kampung ini dan pastinya inilah destinasi yang akan berterusan menjadi sebutan orang ramai,” kata Tun Faisal selaku Pegawai Daerah Marang yang bertanggungjawab menyelaras pembangunan di daerah ini.
Setakat hari ini, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengadakan lawatan kerja beliau ke sini sebanyak dua kali bagi melihat sendiri keadaan dan menambah baik pembangunan dan kemajuan pelancongan kampung ini.

Kemudahan jalan melalui sungai Marang ke Kampung Pulau Batu Putih yang bakal beroperasi tidak lama lagi
Sebagai alternatif memudahkan orang ramai ke sini selain jalan darat, melalui sungai Marang juga boleh sampai ke destinasi ini dengan bot-bot yang disediakan dan akan beroperasi setelah menepati syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan.
-ii-