Skip to main content
Berita TengahHomePutrajaya

Projek Jalan Pesisir RM129 Juta di Labuan Dijangka Siap Disember Ini

By 10 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto : Ihsan BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Projek jalan pesisir bernilai RM129 juta di Labuan dijadualkan siap pada bulan Disember tahun ini, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Beliau berkata isu yang berlarutan mengenai pemerolehan tanah membabitkan projek jalan alternatif sepanjang 5.1 kilometer itu dengan pemilik telah selesai.

“Kami telah diberi taklimat hari ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa projek ini sedang berjalan mengikut jadual yang ketat, isu pemerolehan tanah kini telah diselesaikan dengan baik dan projek itu akan memberi manfaat kepada masyarakat Labuan secara amnya tidak lama lagi,” katanya selepas melakukan lawatan rasmi ke tapak projek semalam.

Beliau diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman dan para pegawai JKR.

Rekaan dan pembinaan projek jalan pesisir Membedai-Tanjung Aru bermula pada Disember 2017 bagi meningkatkan jaringan pengangkutan di Labuan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Tun Mustapha.

Projek membabitkan tanah seluas 49.927 ekar (20.20 hektar) itu, apabila siap, akan membantu pengguna jalan raya dari Kampung Lajau, Tanjung Aru, Kerupang 1, 2 dan 3, Nagalang serta kampung dan kawasan perumahan berhampiran melakukan perjalanan yang lancar ke pusat bandar.

Sekurang-kurangnya sejumlah 53 lot (21.029 ekar atau 8.5 hektar) yang membabitkan tanah persendirian, tiga lot (0.604 ekar atau 0.24 hektar) tanah yang dimiliki Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan 11 lot (28.924 ekar atau 11.7 hektar) adalah milik kerajaan.

Ahli parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata infrastruktur jalan itu akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi kawasan sekitarnya melalui kesan limpahan.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda