Laporan/foto: Wee Kim Been (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Kini sudah setahun empat bulan Majlis Perbandaran Kota Bharu menswastakan sepenuhnya lot letak kenderaan di seluruh bandar ini dengan pelaksanaan Citycarpark atau sistem letak kereta elektronik-web yang berkuatkuasa 15 Oktober 2018 yang lalu.
Menurut Pegawai Penyelia Operasi Citycarpark Muhammad Hafiy Mohd Ghani, 26, sistem ini membolehkan pembayaran dilakukan menggunakan syiling atau melalui Touch n Go, e-Wallet atau Boost yang menyenangkan pengguna.
“Pada peringkat permulaan ramai pengguna merungut berkenaan kelemahan menggunakan sistem ini yang dianggap merumitkan kerana masih baharu digunakan di negeri ini.
“Kini orang ramai menyambut baik kaedah ini yang menyediakan kemudahan operasi terminal melalui kaedah bayar ikut nombor plat dan pengguna boleh terus beredar ke destinasi yang dituju tanpa perlu mempamerkan resit bayaran letak kenderaan tersebut dan petugas akan menyemak bayaran tersebut menggunakan kantor elektronik berdasarkan nombor kenderaan pengguna sahaja,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Menurut Hafiz, caj yang dikenakan masih pada kadar RM0.40 sen untuk setengah jam dan waktu operasinya bermula pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang, Ahad hingga Sabtu.
Hasbullah Jusoh, 70, berpendapat kaedah sistem letak kereta ini lebih cekap, di mana pengguna hanya perlu melakukan bayaran di mesin elektronik dengan menaip keseluruhan nombor plat kereta dan ambil slip bayaran kemudian terus beredar.
Bagi seorang lagi pengguna Peter TK Lee, 51, menyatakan kaedah ini lebih mudah diguna pakai kerana pengguna tidak perlu memaparkan resit letak kenderaan di atas papan pemuka kenderaan.
“Sekiranya pengguna telah melakukan bayaran, kenderaan berkenaan boleh diletak di mana-mana sahaja ruang yang disediakan dalam bandar Kota Bharu sebelum waktu bayaran tamat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.
Azlan Jazlan, 34, pula berpendapat sejak operasi meletak kenderaan secara elektronik ini dilaksanakan, pemandu kenderaan di Kelantan menjadi lebih berdisiplin serta mengikut peraturan yang tetapkan.
“Mereka tidak boleh meletakkan kenderaan sesuka hati di pinggir jalan dalam kawasan bandar yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak, cuti sekolah dan musim perayaan,” katanya.
Dalam pada itu pihak kakitangan Citycarpark akan melakukan rondaan setiap satu jam sekali bagi mengawal kepatuhan meletak kereta oleh pengguna di sekitar bandar Kota Bharu dan tayar akan dikunci jika pengguna meletak kenderaan di tempat yang dilarang.
-NAZ