Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 23 Feb (Malaysiaaktif) – Dua buah kilang di Taman Industri Integrasi Rawang diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas dikesan melepaskan sisa kimia terus ke parit.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata pemilik premis turut dikenakan kompuan berjumlah RM1,000 serta lesen operasinya ditarik balik.
Beliau berkata pemeriksaan turut mendapati kualiti air pada pelepasan akhir oleh kilang tersebut pada bacaan pH 2 iaitu dalam kategori berasid.
“Operasi diketuai oleh Jabatan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS dan beberapa jabatan dalaman MPS serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Gombak pada Khamis lalu.
“Selain masalah pelepasan sisa kimia, didapati keadaan dinding kilang tersebut turut terhakis dikhuatiri menyebabkan runtuhan dan menjejaskan kilang-kilang bersebelahan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menurutnya, tindakan di ambil selaras dengan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
“Satu sesi perbincangan antara pihak kilang dan JAS Gombak akan diadakan dalam masa terdekat dan pihak kilang tidak dibenarkan untuk menjalankan operasi sehingga pematuhan syarat dilakukan.
“MPS mengingatkan pengusaha kilang mematuhi syarat pengurusan sisa kimia dan operasi kilang bagi mengelakkan tindakan yang lebih berat dikenakan,” katanya.
-NAZ