
Laporan/ foto: S ShaIene Segar/ Mawarni Ismail (Barat Daya)
BATU MAUNG, 24 Feb (Malaysiaaktif) – “Kes demam denggi telah menjadi antara masalah kesihatan yang membimbangkan dengan tiada rawatan yang spesifik ataupun penemuan vaksin bagi mencegah wabak ini dan Pulau Pinang pernah berada di tahap yang sangat membimbangkan beberapa tahun yang lalu, menyebabkan kerajaan negeri telah mencari jalan penyelesaian dengan membuat pelaburan dalam inovasi dan teknologi Artificial Intelligence (AI) di bawah program Crush Aedes Totally (CAT) sebagai mekanisme untuk meramal lokasi wabak yang akan berlaku di sesebuah kawasan,” kata Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, dalam ucapannya ketika ditemui menyempurnakan Pelancaran Projek Nyamuk Aedes Ber-Wolbachia Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Turut hadir bersama Afif Bahardin Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan dan Abdul Halim Haji Hussain, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna Dan Pembangunan Keusahawanan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyempurnakan Program Pelancaran Projek Nyamuk Aedes Ber-Wolbachia Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Projek yang kini telah memasuki fasa kedua pelaksanaannya telah memilih tiga daripada lapan lokaliti yang telah ditetapkan di peringkat kebangsaan di Pulau Pinang dengan tiga lokasi perintis yang dimaksudkan adalah di Flat Inderawasih, Flat Taman Manggis, dan Flat Bukit Gedung.
Operasi pelepasan telur nyamuk ber-wolbachia di ketiga-tiga buah lokaliti ini telah pun dimulakan sejak 19 Nov 2019 dengan kira-kira 433, 500 telur nyamuk Aedes Aegypti yang disuntik bakteria wolbachia telah dibekalkan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan dan ditempatkan di lokasi yang terlibat.
Di kesempatan itu juga, Jabatan Penerangan Pulau Pinang bersama Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya telh turun padang meneruskan inisiatif dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat melalui program Info On Wheels (IOW) mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan antaranya berkenaan mySalam, PeKa B40,Covid-19, BSH 2020 dan Insentif e-Tunai bersama beberapa jabatan agensi kerajaan lain yang membuka kaunter perkhidmatan dan pameran.
-ii-