
Laporan/foto : Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor)
JOHOR BAHRU, 2 Feb (Malaysiaaktif) – Menganjak ke tahun 2020 adalah satu cabaran yang besar dalam meneruskan agenda pembangunan negeri malah prestasi dan pencapaian serta kejayaan tahun 2019 yang lalu dijadikan panduan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.
Permuafakatan kempimpinan kerajaan negeri dengan kerjasama anggota perkhidmatan awam adalah benteng utama untuk melancarkan tadbir urus kerajaan negeri.
Kerajaan dan penjawat awam bukan hanya mempunyai tanggungjawab dalam menjayakan tadbir urus yang cekap dan berintegriti malahan turut mempunyai tanggungjawab sivil dalam memakmurkan negeri dengan pembangunan kemajuan yang holistik.

Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyampaikan amanat kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor Bahru.
Tanggungjawab moral turut diterapkan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang sejahtera dengan mengamalkan sistem nilai maju kehadapan bersama menggembeling kudrat, membulatkan tekad dan mengukuhkan sinergi bagi menjayakan impian ‘Makmur Bersama Johor’.
Menurut Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, “impian ini bukanlah hanya untuk kita pada hari ini, malahan untuk hari yang mendatang di mana kegemilangan Negeri Johor sebagai sebuah kuasa ekonomi utama Negara haruslah dibangkitkan sebagai perintis dalam segala aspek untuk meletakkan negeri ini di peringkat tertinggi”.
“Inilah yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita pada masa hadapan iaitu sebuah negeri yang maju, berdaya saing dan mampan di mana kita juga haruslah memiliki iltizam dan daya juang yang tinggi dalam menggalas amanah yang telah diberikan.

Sebahagian Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Johor yang hadir mendengar Amanat Tahun 2020 yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor.
“Kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat tidak harus dipersiakan dan semua ini memerlukan dorongan yang kuat daripada anggota perkhidmatan awam yang ada disini,” ujarnya.
Kerajaan dan anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa bermuafakat dalam setiap perkara dan tidak boleh menjadi entiti yang terpisah di mana slogan ‘Muafakat Itu Berkat’ adalah ungkapan yang boleh membangkitkan gelombang persepakatan yang utuh untuk rakyat dan negeri ini,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam.

Penerima-penerima Geran Bantuan Pejabat Menteri Besar Tahun 2020 untuk program kesukarelawan dan bantuan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Tambah beliau, tahun ini merupakan Tahun Melawat Johor dan negeri ini juga bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor pada bulan Julai ini.
“Kerajaan negeri mensasarkan seramai 8.4 juta pengunjung akan bermalam di Johor daripada sasaran keseluruhan kemasukan 18.4 juta sepanjang tahun yang akan menghadirkan limpahan ekonomi dalam pelbagai segmen seperti hospitaliti, pengangkutan awam dan keusahawanan.
“Saya berharap agar semua anggota perkhidmatan awam di negeri ini berganding bahu menjayakan dua acara terbesar ini dan seterusnya menjadikan ia sebagai acara yang gemilang dalam sejarahnya,” ujarnya lagi.

Persembahan Selamat Datang bertemakan Gabungan Pembangunan Mampan Johor, Sukam Johor, Tahun Melawat Johor dan Malaysia Bersih.
Sebelum itu, Dr. Sahruddin Jamal turut merasmikan Majlis Amanat Menteri Besar Tahun 2020 yang telah dihadiri lebih 2000 penjawat awam negeri Johor yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor Bahru.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kaiat, dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dr. Sahruddin Jamal turut berkesempatan menyampaikan Insentif Hasil Negeri Johor Tahun 2019 kepada Jabatan-Jabatan Pemungut Hasil yang mana insentif ini meliputi dua kategori iaitu Hasil Bagi Kategori Pentadbiran Tanah dan Kategori Bukan Pentadbiran Tanah.
Beliau turut menyampaikan Geran Bantuan Pejabat Menteri Besar yang berjumlah RM 6 Juta geran khusus untuk program kesukarelawan dan bantuan kepada pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memperkasakan peranan golongan NGO di negeri ini.
-NI-