Laporan/ foto: Mohd Noor Samion (Melaka Tengah)
MELAKA, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Masjid bukan sahaja tempat umat Islam beribadah tetapi juga sebagai satu institusi yang berperanan untuk menyebarkan maklumat berkaitan dasar – dasar kerajaan dan isu- isu berkaitan global, nasional dan tempatan.
Justeru, Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah, baru-baru ini telah menggunakan pendekatan aktiviti Info On Wheels (IOW) berkerjasama dengan Masjid Al – Hamideen, Bukit China dalam usaha menyebar dan memberikan maklumat yang benar dan tepat kepada semua jemaah yang hadir.
Habib Muhammad Hussein Al – Habsyie dalam ceramahnya yang bertajuk “Betapa Indahnya Syurga” juga menyelitkan dalam ceramahnya tentang hindari daripada Wabak Novel Coronavirus (Covid-19).
Beliau menjelaskan panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menggelakkan risiko dijangkiti Covid-19 antaranya, basuh tangan dengan kerap menggunakan pencuci tangan berasaskan alkohol atau sabun dan air dan apabila batuk atau bersin tutup mulut dan hidung dengan lengan atau tisu dan buang tisu segera dalam tong sampah.
“Selain itu, elakkan bergaul rapat dengan sesiapa yang mempunyai demam, selsema dan batuk, masak daging dan telur sepenuhnya dan elakkan menyentuh haiwan liar atau ternakan secara langsung tanpa perlindungan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Pegawai Penyelaras Komuniti Harapan Malaysia Parlimen Kota Melaka, Mohd Fandy Azam, program Info On Wheels ini adalah pendekatan kerajaan menyaluran info sahih kepada masyarakat bagi membendung wabak Covid-19.
Program ceramah ini dihadiri lebih kurang 600 jemaah, turut hadir wakil Ahli Parlimen Kota Melaka, Mohd Sharul Syahabudin.
-KN