
Laporan/foto: Salleh Immun/Wirwan Amar (Sarawak)
KUCHING, 27 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia, Sarawak menerusi Persembahan PENTARAMA menghidupkan suasana ceria sempena program jelajah mereka di negeri ini.
Timbalan Pengarah JaPen Sarawak Aziz Abdul Rahman, berkata persembahan yang diadakan ini merupakan persembahan pembuka tirai bagi persembahan PENTARAMA yang akan diadakan di seluruh Sarawak dalam rangka perancangan untuk tahun ini.
“Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak melalui Cawangan PENTARAMA telah merancang akan mengadakan persembahan ini di seluruh negeri dan beberapa lokasi telah dikenalpasti bagi tujuan ini.
“Pelbagai genre lagu akan dinyanyikan oleh para artis dan pada masa yang sama persembahan turut diselitkan pelbagai kandungan maklumat penting serta dasar kerajaan masa kini untuk disampaikan kepada masyarakat,” katanya yang ditemui sempena jerayawara cawangan tersebut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini semalam.

Aziz (belakang enam dari kanan) bergambar kenangan bersama artis, pemuzik dan penonton setelah selesai persembahan.
Menurut Aziz, objektif PENTARAMA adalah untuk memastikan penyampaian maklumat yang lebih berkesan kepada masyarakat melalui persembahan nyanyian, lakonan sketsa pendek dan interaksi dua hala, selain pelbagai risalah bermaklumat turut diedarkan disamping persembahan hiburan dan sketsa sebagai medium penyampai maklumat kepada masyarakat.
“Penggunaan tema #KitaMalaysia secara langsung telah memberikan satu keunikan kepada persembahan kali ini dan persembahan yang ditampilkan dapat mengeratkan lagi perpaduan sedia ada.
“Persembahan lagu dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin termasuk lagu dalam bahasa tempatan seperti Bahasa Iban, Bidayuh dan lain-lain dapat menarik tumpuan penonton untuk memberikan fokus terhadap persembahan artis dan secara langsung menghiburkan mereka yang hadir,” ujar Aziz lagi.
Persembahan PENTARAMA #KitaMalaysia memberikan kelainan apabila menjurus kepada cara penyampaian maklumat yang lebih berkesan kepada masyarakat melalui hiburan.
-SH