
Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Ahmad Fitri Jasni (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Malaysia memang cukup dikenali dengan rakyat yang berbilang kaum dan etnik dan walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza, tetapi perpaduan yang terbina masih mampu dikekalkan sejak dahulu lagi.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith, formula asas untuk mewujudkan perpaduan adalah melalui pendidikan.
“Sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk mendidik anak-anak akan perasaan harmoni dan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Mengekalkan perpaduan bukan mudah tetapi ia boleh dipupuk, seperti di sekolah ini, pelajar Melayu dan Cina belajar bersama-sama di bawah satu bumbung tanpa sebarang masalah,” ujarnya ketika merasmikan Program Sumbangan Angpau Sempena Tahun Baharu Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, pada Jumaat lepas.
Tambah Eddin lagi, rakyat Malaysia perlu menolak perasaan prejudis terhadap bangsa lain dan perlu berbangga kerana hidup aman damai tanpa permusuhan di negara ini.
Turut diadakan persembahan tarian singa dan dihadiri oleh kira-kira 200 orang warga sekolah tersebut.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang, Ng Chin Tsai, Pegawai Pendidikan Daerah dan Ketua-ketua Jabatan.
-AK