Laporan/foto : Nurhasnani Abdul Wahab / JKMM (Melaka)
MELAKA, 29 Feb (Malaysiaaktif) – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) adalah wadah unggul dalam sektor awam yang mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada kerajaan untuk penganjuran program-programnya.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka
Datuk Seri Hasim Hasan, sebagai seorang penjawat awam atau isteri kepada penjawat awam, ahli-ahli PUSPANITA seharusnya sentiasa menyokong inisiatif dan inspirasi yang diterajui oleh pihak kerajaan, peka dengan perkembangan ekonomi dan kemajuan negara serta sentiasa mencari peluang untuk sama-sama menabur bakti secara sukarela dalam menabur bakti secara sukarela dalam aktiviti persatuan.
“Penganjuran program dan aktiviti PUSPANITA Melaka telah menyumbang kepada pencapaian objektif penubuhan persatuan ini, iaitu merapatkan hubungan muhibah dan menyatupadukan isteri-isteri dan anggota-anggota wanita perkhidmatan awam di semua peringkat perkhidmatan dan menggalakkan perkembangan pengetahuan kemahiran serta kemajuan diri ahli-ahli menerusi program dan aktiviti yang dijalankan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agong PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka Kali Ke-38 yang berlangsung semalam di Auditorium Masjid Al-Azim.
Dalam pada itu, menurut Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Melaka Datin Seri Zarina Mohd Yusoff, sepanjang 2019 pelbagai aktiviti kemahiran dan pengetahuan kepada ahli juga masyarakat telah dilaksanakan di peringkat negeri dan juga daerah.
“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan merangkumi pelbagai aspek seperti keagamaan, pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosial, sukan dan lestari hijau,”ujarnya.
-KN