Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

COVID-19 : SWM Environment Jayakan Ops Sanitasi Awam

By 31 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin/SWM Environment (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak lima daerah yang disenaraikan sebagai zon merah iaitu Johor Bahru, Lembah Pantai, Petaling, Hulu Langat dan Seremban menjalani operasi nyah cemar yang diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), SWCorp dan syarikat-syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal.

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin, kesiapsiagaan syarikat itu di negeri-negeri perkhidmatannya iaitu Johor dan Negeri Sembilan adalah melibatkan anggota yang telah dilatih untuk menjayakan operasi sanitasi awam dengan sokongan oleh 20 buah jentera penyembur dan 4 buah jentera lori tangki.

Persediaan operasi sanitasi awam.

Persediaan operasi sanitasi awam.

“Di Johor Bahru, SWM Environment telah menjayakan Ops Sinaran di Kampung Sinaran Baru, Kempas yang membabitkan seramai 35 orang anggota dan disokong lapan buah jentera pelbagai kegunaan.

“Kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan telah dilaksanakan di Kampung Sinaran Baru Kempas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, SW Corp, SWM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan RELA pagi semalam,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

Sebanyak 3000 liter air digunakan bagi proses sanitasi awam.

Sebanyak 3000 liter air digunakan bagi proses sanitasi awam.

Tambah beliau, pihak SWM Environment bukan sekadar menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan, malah turut komited mempersiapkan sumber tenaga dan aset yang ada untuk terlibat dalam operasi sanitasi awam yang diselaraskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kekerapan perlaksanaan operasi sanitasi awam yang melibatkan pihak SWM Environment akan berpandukan kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Penyelaras yang tertumpu di jalan-jalan utama, lampu isyarat, lampu jalan, bangunan dan kemudahan awam di sepanjang jalan utama.

“Sebagai persediaan awal sebelum melaksanakan operasi penyemburan, SWM Environment telah melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa pukal dan pembersihan longkang di lokasi-lokasi yang terlibat,” ujarnya.

Norlisam memohon kerjasama orang ramai bagi bersama-sama memerangi penularan pandemik COVID-19 dengan berada di kediaman masing-masing sebagaimana yang diperintahkan oleh pihak Kerajaan melalui penguatkuasaan PKP.
-NI-

Tinggalkan komen anda