Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PM Umum Pakej Rangsangan Ekonomi RM250 Bilion

By 27 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM250 bilion diperuntukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN untuk membantu semua rakyat yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bantuan ini meliputi kebajikan rakyat, menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) serta memperkukuhkan ekonomi negara.

“Sebanyak RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

“PRIHATIN turut menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat menerusi pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini,” umumnya sempena Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi, hari ini.

Muhyiddin menjelaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk membendung penularan wabak COVID-19 dengan memperuntukkan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi meningkatkan lagi keupayaan kementerian, kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi COVID-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

“Selain itu, bagi menyokong usaha KKM menjalankan lebih banyak ujian COVID-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital mahupun makmal swasta,” umumnya lagi.

Kerajaan turut bersetuju meningkatkan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak ini kepada RM600 sebulan mulai 1 April hingga tempoh wabak berakhir.

“Sebagai menghargai pengorbanan mereka, kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan dan pada masa yang sama, kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dengan anggaran seramai 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat ini,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda