
Laporan/foto: Shah Hood/MEDKOM (Johor Bahru)
KOTA ISKANDAR, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri mengambil keputusan menangguhkan Festival Islam dan Halal Antarabangsa (FIJO) 2020 yang sepatutnya berlangsung bulan ini ekoran penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Izhar Ahmad, keputusan sukar ini dibuat selepas kerajaan negeri mengadakan rundingan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pihak penganjur memutuskan menangguhkan FIJO 2020 kepada 22 hingga 25 Oktober berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.
”Ia juga bagi memberi keutamaan kepada kesihatan dan kesejahteraan rakan kongsi, penaja, pempamer dan pelawat serta menyediakan persekitaran optimum untuk menjalankan perniagaan,” katanya lagi pada sidang Media Majlis Ramah Mesra Ahli Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) di Bangunan Sultan Ismail, di sini, semalam.
Tambah Izhar, pihak penganjur akan terus berkerjasama dengan semua entiti dan agensi kerajaan yang berkaitan dan mengambil langkah-langkah yang perlu selaras dengan perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh KKM dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
“Pasukan kami juga akan bersedia sepenuhnya dalam membantu semua rakan kongsi, penaja, peserta pameran dan pelawat untuk sebarang kesulitan yang dihadapi berikutan penangguhan ini,” ujarnya lagi.

Mohd Izhar Ahmad bergambar bersama sebahagian Barisan Ahli Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ).
Terdahulu, Majlis Pra-Pelancaran Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor (FIJO) 2020 telah berlangsung pada 4 Februari lepas di mana kerajaan Johor menjangkakan lebih banyak penglibatan pempamer jualan dari usahawan tempatan dan luar negara di mana sebanyak 400 jumlah tapak jualan disasarkan pada tahun ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Warisan Advertising selaku penganjur FIJO 2020 Datuk Rosle Jamaat.
-NI-