
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 16 Mac (Malaysiaaktif)- Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjelaskan tentang kekeliruan orang ramai berkaitan tular di media sosial mengenai wabak COVID-19 yang dikatakan berlaku di bangunan agensi tersebut, semalam.
Pengarah Jabatan Korporat, Mohamad Zin Masoad, berkata pihaknya menerima kehadiran pelawat yang hadir untuk berurusan di bangunan MPS yang merupakan suspek virus COVID-19.
“Individu tersebut merupakan peserta ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini dan telah hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak untuk menjalani saringan.
“Selepas itu beliau telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selama empat hari sehingga keputusan saringan dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, susulan kehadiran individu tersebut ke bangunan MPS untuk berurusan, pihaknya telah berhubung dengan PKD Gombak untuk tindakan seterusnya.
“PKD Gombak sarankan agar membuat kerja-kerja disinfeksi tempat-tempat yang dikunjungi individu berkenaan.
“Kerja-kerja disinfeksi telah dilakukan di kaunter pertanyaan di lobi termasuk pas pelawat, lif termasuk butang lif serta kaunter di Jabatan Perundangan MPS,” ujarnya.
Menurutnya, pihak PKD menyatakan MPS boleh beroperasi seperti biasa dan pendedahan kepada virus COVID-19 berada ditahap rendah.
“Namun sebagai langkah berjaga-jaga, MPS telah melakukan disinfeksi di semua lif dan kawasan awam di bangunan MPS.
“Saringan tahap suhu badan kepada semua pelawat juga akan dilaksanakan dan mana-mana individu yang bergejala tidak dibenarkan melakukan sebarang urusan di MPS,” katanya.
-NAZ