Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

COVID-19 : Waktu Operasi Premis Perniagaan Di Johor Dihadkan Mulai Semalam

By 24 Mac 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/MEDKOM (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri telah mengumumkan bahawa waktu operasi premis perniagaan akan dihadkan mulai semalam bermula 7.00 pagi sehingga 7.00 malam bagi membantu melancarkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung wabak COVID-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Vidyananthan Ramanadhan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu membuat ketetapan untuk premis perniagaan di kawasan masing-masing.

“Untuk makluman, tempoh operasi akan bermula dari pukul 7.00 pagi sehingga 7.00 malam yang akan melibatkan operasi kedai makan, kedai serbaneka di stesen minyak, kedai runcit serbaneka 24 Jam dan pasaraya, manakala bagi pasar malam dan pasar pagi tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Para peniaga dan orang ramai diminta rujuk kepada arahan PBT di kawasan masing-masing bagi mengetahui waktu operasi yang akan digunakan dan jika tiada keperluan, mereka perlu sentiasa berada di rumah masing-masing,” katanya dalam sidang media situasi semasa Kes COVID-19 Negeri Johor di sini semalam.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada sektor swasta yang memberi sumbangan kepada Tabung Bencana Negeri Johor serta petugas kesihatan dan keselamatan yang menjadi frontliners kepada Kerajaan serta sentiasa bersedia dan responsif dalam menjalankan tugas tanpa mengira masa dan penat lelah dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 ini.

Sehingga semalam, sebanyak 145 kes COVID-19 telah dilaporkan di negeri ini yang juga melibatkan satu (1) kes kematian pada 17 Mac 2020 yang lepas.
-NI-

Tinggalkan komen anda