Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Program Jom Gegor Ayor Kolam Renang Kuala Kangsar berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan mereka.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Daerah Kuala Kangsar (MPKK) Zulqarnain Mohamad, program ini merupakan kesinambungan Program Hari Landskap Negara 2020 yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada minggu lepas di Laman Budaya, di sini.
“Program ini juga dapat dikatakan sebagai satu hadiah daripada MPKK kepada masyarakat setempat sempena meraikan ulang tahun MPKK yang ke-16.
“Ia merupakan satu kelainan yang ditampilkan pada ulang tahun kali ini kerana pihak MPKK ingin mewujudkan rasa cinta dan kebersamaan antara pihaknya dengan komuniti setempat,” katanya ketika ditemui semalam.
Program Jom Gegor Ayor Kolam Renang turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar.
Sementara itu, menerusi sambutan Hari Lanskap Negara 2020, sebanyak 633 anak pokok daripada 35 spesis seperti Merawan Siput, Beruas, Ara, Kelumpang Burung, Kopsia Arborea, Tembusu Tikus, Merlimau, Mata Pelanduk, Asam Gelugor, Sentul, Medang Pasir dan juga Rambai Istana turut ditanam.
Menurut Zulqarnain, MPKK sedang menuju ke arah Perak Green Plan dalam usaha menjadikan Kuala Kangsar sebagai sebuah daerah yang penuh dengan tumbuhan pokok-pokok hutan tempatan dalam tempoh 20 ke 30 tahun akan datang.
“Kita berharap daerah ini akan menjadi bertambah sejuk dan nyaman dengan adanya pelbagai tumbuhan hutan yang ditanam,” katanya lagi.
-SH