Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Operasi Bersepadu MPS, DBKL di Pasar Borong Selayang

By 24 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi-agensi lain bekerjasama melaksanakan satu operasi pemeriksaan bersepadu di kawasan Pasar Borong Selayang, semalam.

Yang Dipertua, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata operasi yang melibatkan 44 anggota penguatkuasa daripada MPS, DBKL, Agensi Pertahanan Awam (APM), Pejabat Tanah dan Daerah Gombak (PTDG) serta pihak polis Gombak.

“Tindakan sitaan telah dikenakan ke atas peniaga yang meninggalkan barang-barang perniagaan di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan situasi persekitaran yang tidak menyenangkan.

“Sitaan melibatkan lapan inventori pelbagai barangan di bawah Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Shamsul berkata, bermula hari ini pihaknya akan menjalankan tindakan yang lebih tegas dengan mengenakan kompaun dan sita berikutan masih ramai peniaga didapati ingkar terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Operasi bersepadu penguatkuasa MPS, DBKL dan agensi berkaitan berhampiran Pasar Borong Selayang, semalam.

Operasi bersepadu penguatkuasa MPS, DBKL dan agensi berkaitan berhampiran Pasar Borong Selayang, semalam.

“Tindakan ini akan diambil selaras dengan kuasa yang diberikan kepada MPS di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342).

“Semalam, dalam satu operasi di kawasan Selayang pihak MPS telah memeriksa 131 premis dan sebanyak 32 buah premis telah diberi amaran lisan serta 43 premis telah diberikan notis amaran bertulis.

“MPS juga mendapati beberapa kedai serbaneka dan pasaraya tidak mengawal pengunjung yang memasuki premis mereka, tanpa mengamalkan jarak selamat satu meter seperti yang disarankan pihak kerajaan,” katanya.

Katanya, orang ramai dialu-alukan menghubungi Bilik Gerakan MPS untuk sebarang pertanyaan ataupun aduan yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Talian hotline 03-61389898 atau talian bebas tol di 1800-222-677, orang ramai juga boleh merujuk laman sosial MPS untuk sebarang pengumuman terkini berkaitan MPS,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda