Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: Lima Suspek Diambil Rakaman Percakapan Berhubung Berita Palsu – Saifuddin

By 24 Mac 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil rakaman percakapan lima suspek atas tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia merupakan tambahan kepada enam orang yang telah didakwa sebelum ini.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“(Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) SKMM dan PDRM akan terus berganding bahu melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutamanya mengenai COVID-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya menerusi laman Twitter rasminya hari ini dengan tanda pagar #MalaysiaBebasCovid19.

Sebelum ini, Saifuddin berkata sesiapa yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, boleh dikenakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Sesiapa yang menyebarkan kandungan bersifat lucah, palsu dan mengancam orang lain, Saifuddin berkata, kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda