
Foto: Ihsan BERNAMA
PUTRAJAYA, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Sekolah menengah di seluruh negara kini boleh mula mendaftar untuk pelaksanaan format baharu bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 mulai bulan ini (Mac), kata Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.
“Dengan kurikulum baharu di peringkat sekolah menengah, maka format SPM 2021 akan ada perubahan. Jadi dalam peringkat ini, Kementerian Pendidikan masih dalam proses memuktamadkan proses itu.
“(Ia) hampir selesai… jadi Lembaga Peperiksaan akan masukkan ke dalam laman web Kementerian Pendidikan pada minggu hadapan,” katanya pada sidang media selepas pengumuman analisis keputusan SPM 2019 di sini hari ini, ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan format baharu SPM 2021.
Ditanya penurunan calon SPM bagi mata pelajaran fizik, kimia dan biologi bagi tahun 2019, Habibah berkata usaha berterusan perlu dilakukan bagi menggalakkan pelajar memilih mata pelajaran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk sains tulen.
“Kita ada menyediakan pakej baharu tahun ini selaras dengan kurikulum 2017. Diharap pakej ini dapat menarik lebih ramai calon untuk mengambil mata pelajaran STEM dan sains tulen,” katanya.
— BERNAMA