
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Gambar fail
PUTRAJAYA, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor berkuatkuasa tengah malam tadi.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan COVID-19 di Daerah Kluang, Johor dan daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes adalah dari dua kawasan tersebut.
“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga yang berkuatkuasa hingga 9 April nanti.
“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan kerajaan yakin langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Ismail Sabri menjelaskan sepanjang arahan ini dilaksanakan keemua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan ini tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
“Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan dengan semua aktiviti perniagaan dihentikan dan stok makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya lagi.
Beliau turut meminta penduduk untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan perintah ini dilakukan.