
Laporan/foto: Zayana Isa/Rohani Mohd Saad (Kuantan)
KUANTAN, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Rata-rata premis perniagaan di daerah Kuantan akur kepada arahan Kerajaan Negeri Pahang yang mengeluarkan arahan penutupan premis perniagaan bermula pukul 7.00 malam hingga 7.00 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata melalui pemantauan dan rondaan yang dilakukan kebanyakan premis perniagaan mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Keadaan di bandar Kuantan yang lengang dan sepi ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan sejak 18 Mac lalu.
“Walaupun masih ada segelintir orang awam yang masih berada di luar, namun rata-rata masyarakat Kuantan patuh pada arahan yang dikeluarkan dan kebanyakan premis perniagaan menutup premis mereka seperi yang diarahkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat rondaan di sekitar bandar Kuantan sempena Operasi Bersepadu COVID-19 baru-baru ini.
Beliau turut menasihati orang ramai agar terus berada di rumah dan patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020.
“Operasi Bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), RELA dan Pejabat Penerangan Daerah Kuantan bagi memastikan penduduk setempat dan premis perniagaan mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.
“Kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan penutupan premis perniagaan dalam tempoh PKP ini melibatkan enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Temerloh, Jerantut, Bentong dan Cameron Highlands,” katanya lagi.
-KN