
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/RTM Labuan (Labuan)
LABUAN, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai jangkitan COVID-19 baharu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan Mohd Ibrahim Mohd Ghani, pihaknya menerima laporan daripada seorang kakitangan sebuah syarikat pengangkutan di sini mengenai berita palsu yang mengatakan berlaku penularan wabak tersebut di syarikat itu.
Jelas Ibrahim, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap laporan tersebut dan berharap orang ramai lebih bertanggung jawab dengan sebarang maklumat yang diterima.
“Jangan sebarkan maklumat yang tidak sahih dan sahkan maklumat yang diterima dengan pihak berkuasa jika tidak kita akan ambil tindakan,” katanya yang ditemui pada Operasi Bersepadu Sekatan Jalan Raya Perintah Kawalan Pergerakan di Jalan Tun Mustapha hari ini.
Mengulas mengenai operasi itu, Ibrahim berkata ia bertujuan untuk memastikan orang ramai akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan.
“Kita minta masyarakat menghadkan pergerakan dan duduk di rumah kerana kita dapati sejak semalam operasi dijalankan masih ramai yang keluar ke bandar dengan pelbagai urusan.
“Kita juga minta jangan keluar beramai-ramai sebaliknya hanya seorang yang keluar untuk menyelesaikan pelbagai urusan yang diperlukan,” jelasnya.
Tambahnya operasi itu menumpukan jalan-jalan utama menuju ke pusat bandar dan akan diteruskan 24 jam sehari sehingga Perintah Kawalan Pergerakan berakhir.
-SH