
Laporan/Foto : Mohd Zamzuri Salleh/Mohd Zamri Abdullah (Kota Bharu)
KOTA BHARU,10 Mac ( Malaysiaaktif) – Balai Seni Lukis Negara membuka tirai 2020 dengan semangat kebersamaan dalam memacu dan memperkasakan sektor pelancongan dan kebudayaan bagi memeriahkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) atau Visit Malaysia Year (VMY 2020).
Bagi merealisasikan hasrat itu, maka Balai Seni Budaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) dengan kerjasama kerajaan Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Kemakmuran Seni Bersama Komuniti di Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu yang mewakili zon Pantai Timur.
Program ini adalah sisipan acara mega Kuala Lumpur Biennale edisi kedua, KUL Biennale 2020 yang membawa tema Tanah Air dan Udara yang membawa elemen penghubung manusia dan karektor alam di Asia Tenggara.
Menurut Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Dr. Noor Zari Hamat, bidang seni merupakan salah satu cabang yang menyumbang ke arah peningkatan kedatangan pelancong ke negara ini.
“Acara KUL Beinnale yang akan berlangsung bulan September nanti bakal meletakan nama Malaysia dalam carta acara seni dunia seterusnya menyerlahkan lagi potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Perasmian Program Kemakmuran Bersama Komuniti, semalam.
“Kelantan negeri yang pertama dipilih untuk mempromosikan program KUL Biennale 2020 sebagai mekanisme dalam pencarian “local knowledge” bagi memartabatkan seni warisan Malaysia.” tambahnya lagi.
Peniaga Pasar Ikan Pengkalan, Kampung Pulau Gajah, Mohd Salleh Mohamad, 67, berkata beliau berterima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjadikan tapak pasar ini sebagai tempat untuk penganjuran program kerana secara tidak langsung akan mempromosikannya, diharap semakin ramai pengunjung datang untuk membeli ikan-ikan segar daripada nelayan di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Dr Noor Zari Hamat sedang menyampaikan ucapan perasmian
“Saya telah berniaga hampir 20 tahun, inilah kali pertama program besar diadakan bagi membantu meningkatkan hasil jualan, diharapkan para pelanggan tempatan dan luar datang beramai-ramai bagi meningkatkan ekonomi nelayan di sini.” katanya.
Bagi Nur Adibah Che Mansor,25, penganjurkan program ini bukan sekadar mengeratkan hubungan silaturhaim antara masyarakat kampung dan para pengunjung luar, malah banyak manfaat yang diperolehi daripada Jabatan/Agensi kerajaan yang berkampung membuka gerai-gerai pameran dan perkhidmatan kepada masyarakat yang hadir.
“Masyarakat kampung boleh berkunjung terus ke Jabatan/Agensi berkenaan untuk mendapatkan perkhidmatan secara langsung melalui pegawai-pegawai yang bertugas. Ini peluang keemasan perlu direbut kerana kita tidak perlu pergi ke pejabat berkenaan, menjimatkan masa dan tenaga,” tambahnya lagi.
Program Kemakumran Seni Bersama Komuniti ini diserikan dengan pelbagai acara antaranya penampilan perahu kolek yang dilukis secara spontan atau tukang sobek@sorbek yang pakar berasal dari Wilayah Narathiwat dan Pattani bersama penduduk tempatan menjadikan perahu tersebut cantik dan unik serta dijadikan sebagai produk pelancongan.
Dijangkakan seramai 1000 orang telah berkunjung ke program tersebut dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan/Negeri dan badan-badan bukan kerajaan.
-NAZ