Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Ibu bapa Pemangkin Pendidikan Anak-Anak

By 10 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Siti Noorezrin Mahmod & Ramasamy Amas (Jempol)

JEMPOL, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Mendepani zaman yang semakin mencabar, ibu bapa harus mempersiapkan diri dalam memastikan anak-anak menjadi insan yang berjaya.

Walaupun sibuk bekerja setiap hari, ia bukanlah alasan untuk mengabaikan tanggungjawab dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik.

Pakar Motivasi, Prof Dr Kader Ibrahim, berkata sekiranya ibu bapa terlalu sibuk dalam kehidupan seharian, mereka akan hilang nikmat dalam membesarkan anak.

“Anak-anak akan lebih cenderung untuk meluangkan masa dengan rakan sebaya sehingga boleh mengheret mereka terjebak dengan gejala sosial yang tidak berfaedah,” ujarnya dalam ceramah Program Seminar Motivasi Kecemerlangan Pendidikan dan Keibubapaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahau, di sini, Sabtu lalu.

Menurut Kader, ibu bapa hendaklah sentiasa mengawasi gerak  geri anak-anak bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku kerana kepesatan teknologi yang canggih masa kini memberi ruang untuk mereka membolosi ke arah perkara yang tidak sihat.

“Rumah adalah universiti pertama, oleh itu didikan awal perlu bermula dari rumah dan setiap tingkah laku ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak, sekiranya ibu bapa melakukan perkara baik, maka baiklah anak mereka kalau tidak sebaliknya akan berlaku,” tambah beliau lagi.

Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Jempol dengan kerjasama Persatuan Wawasan Masyarakat Harmoni Daerah Jempol dan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad.

Berucap kepada lebih 500 peserta seminar, Shahnon menjelaskan bahawa Jabatan Penerangan sentiasa mencari ruang dan peluang dalam mendekati masyarakat melalui program-program berbentuk pendidikan dan penyebaran maklumat umum.

“Pendidikan boleh membawa kita pergi lebih jauh, oleh itu, semua pelajar mahupun ibubapa perlu menitik beratkan pelajaran dan sentiasa berusaha untuk memastikan memperoleh keputusan yang baik di masa hadapan,” ujarnya.

Tambah Shahnon lagi, fokus program tersebut bukan sahaja untuk memberikan motivasi kepada peserta malah pihaknya turut mengambil peluang untuk menyebarkan isu semasa seperti langkah-langkah pencegahan virus Covid-19 dan juga mengedarkan bahan penerbitan sebagai ilmu tambahan kepada hadirin.

-AK

Tinggalkan komen anda