Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Agrobazaar Kok Lanas, Pasar Raya Pertama di Kelantan Sediakan Terowong Nyah Kuman

By 9 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Agrobazaar Rakyat Kok Lanas dekat Ketereh, menjadi pasar raya pertama di Kelantan, yang menyediakan terowong nyah kuman bermula hari ini, dalam usaha membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19.

Pengurusnya, Ahmad Deraman berkata, pihaknya bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Sukarelawan Kok Lanas dalam mencipta terowong berkenaan, bagi memberi keyakinan kepada pelanggan untuk membeli-belah dalam persekitaran yang bersih.

“Sebelum terowong nyah kuman ini dipasang, kami juga membuat proses nyah kuman di dalam pasar raya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Kami turut menasihatkan pelanggan supaya memakai topeng muka dan menjaga jarak sosial ketika membeli-belah dalam pasar raya ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Projek Sukarelawan Kok Lanas, Wan Zuhari Wan Ismail berkata, bagi projek ‘Spa Sanitiser’ itu, pihaknya menggunakan bahan yang boleh dikitar semula seperti paip PVC, pam motor dan paip penyembur air, serta jaring kalis air bagi mencipta terowong ini dengan kos RM500 sahaja.

“Ia beroperasi secara manual dan pelanggan perlu berada dalam terowong itu selama tujuh saat bagi membolehkan badan mereka disembur dengan cecair antiseptik,” katanya.

Seorang pelanggan, Irphan Abdul Aziz, 41, dari Kok Lanas berkata, beliau berasa lebih selamat untuk mengunjungi pasar raya itu selepas ia memperkenalkan terowong nyah kuman tersebut.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda