Laporan/foto: Mohd Nor Hidayat Bidin/Anuar Che Amat (Perlis)
PADANG BESAR, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Ahli Parlimen Padang Besar merangkap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan Azizan Sulaiman menyumbangkan 3000 pek bantuan bekalan makanan berasaskan barangan keperluan harian bagi membantu mereka yang memerlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Azizan, sumbangan barangan keperluan harian ini diharap secara tidak langsung dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan di negeri ini dalam menghadapi PKP.
“Saya berharap agar para penerima bantuan ini dapat menggunakan barangan keperluan asas ini dengan sebaiknya berikutan negara sedang menghadapi fasa ketiga PKP yang telah dilanjutkan sehingga 28 April 2020 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas semalam.
“Saya juga memohon rakyat agar mengutamakan kebersihan diri sepanjang masa, duduk di rumah dan amalkan penjarakkan sosial agar kita dapat membendung wabak COVID-19 ini dari menular dan secara tidak langsung memutuskan rantaiannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ahli Parlimen Padang Besar, di sini.
Beliau turut mengajak rakyat agar terus berdoa, sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan dan bersabar sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan.
Ketika ditanya mengenai status stok bekalan makanan di negeri ini, Azizan memaklumkan tiada sebarang rungutan atau aduan yang diterima dari orang ramai setakat hari ini mengenai kekurangan barangan keperluan asas di pasaran.
“Saya berharap masyarakat akan terus peka dan membuat aduan sekiranya mendapati terdapat kedai atau pasaraya yang menjual barangan keperluan dengan harga yang tidak berpatutan dalam tempoh PKP kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar tindakan selanjutnya dapat diambil,” ujarnya.
-NI