Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: Menteri Sarawak Minta Rakyat Tidak Buat Tuduhan Melulu Kluster RHB

By 7 April 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: KKM

PUTRAJAYA, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meminta rakyat Sarawak tidak membuat tuduhan melulu berhubung jangkitan COVID-19 melibatkan satu kluster yang dikenal pasti sebagai Kluster RHB di negeri itu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata ada dakwaan yang tular di media sosial menyatakan kluster itu bermula daripada seorang individu yang enggan menjalani kuarantin sehingga menyebabkan satu keluarga meninggal dunia disebabkan jangkitan itu.

“Ingin saya nyatakan di sini, wabak ini tidak memilih bangsa dan tidak memilih agama, apa yang telah berlaku adalah satu perkara yang tidak diingini dan semua orang tidak mahu dijangkiti wabak ini.

“Tidaklah perlu untuk kita menguar-uarkan bahawa kematian atau wabak itu berlaku ekoran daripada seseorang atau daripada bangsa mana dan menyebabkan perasaan yang kurang enak,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata sesiapapun tidak akan pergi bekerja mahupun bertemu orang lain sekiranya mengetahui lebih awal mereka telah dijangkiti wabak itu.

“Jadi harapan saya kepada rakyat Sarawak untuk tidak membuat tuduhan melulu kerana tiada siapa pun mahu dijangkiti dengan pandemik ini,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda