Laporan/ foto: Shuhaimi Ahmad/ Urus Setia Penerangan Darul Iman (Terengganu)
MARANG, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Marang mengadakan lawatan ke Pulau Kapas bagi membuat saringan pelancong asing yang terkandas di pulau peranginan itu, baru-baru ini.
Tujuh kakitangan bersama seorang doktor melakukan saringan terhadap 36 pelancong asing yang masih berada di situ selepas terkandas kerana sekatan perjalanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Lawatan yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman bertujuan bagi memastikan pelancong asing yang masih ada di negeri ini bebas daripada pandemik COVID-19.
Ariffin berkata, terdapat 71 pelancong asing yang masih tinggal di beberapa pulau peranginan di negeri ini dan 36 orang daripadanya berada di Pulau Kapas.
Katanya, mereka berada di pulau peranginan sebelum tarikh penguatkuasaan sekatan perjalanan dan mereka membuat keputusan untuk tinggal di pulau itu sehingga sekatan perjalanan ditamatkan.
Selain itu, beliau berkata pelancong asing itu lebih yakin berada di negara ini daripada pulang ke negara mereka yang juga sedang dilanda pandemik COVID-19.
Kebanyakan pelancong asing yang ada di pulau peranginan di Terengganu berasal dari Jerman, Sepanyol, Itali, Belgium, Sweden dan Denmark.
Beliau menambah, saringan kesihatan kepada semua pelancong asing dibuat secara berkala sepanjang tempoh PKP ini bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit terutamanya COVID-19.
Ariffin berkata, bagaimanapun kerajaan negeri membenarkan mereka untuk pulang ke negara asal jika mereka mampu berbuat demikian tetapi perlu menghubungi kedutaan masing-masing selain menguruskan sendiri tiket penerbangan.
Tambah beliau, kerajaan negeri boleh membantu menyediakan pengangkutan bagi perjalanan ke pejabat kedutaan masing masing atau terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sehingga kini, enam pelancong dari Jerman akan pulang ke negara mereka tidak lama lagi dan kerajaan negeri serta Kedutaan Jerman sedang menguruskan urusan perjalanan itu.
Beliau berkata, empat daripada mereka akan bertolak ke KLIA pada hari ini, manakala dua orang lagi masih menunggu urusan yang berkaitan selesai.
Ariifin turut bersyukur kerana semua pelancong asing yang disaring setakat ini tidak menunjukkan gejala penyakit terutama COVID-19 dan mereka tinggal dalam keadaan yang selesa dan baik.
–ii-