PUTRAJAYA, 18 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak berhasrat mengatur penerbangan menghantar pulang warganya di Malaysia buat masa ini, di tengah-tengah wabak COVID-19, memandangkan penerbangan komersial masih ada, kata seorang jurucakap Kedutaan AS di Malaysia.
Jurucakap itu berkata warga AS yang mahu pulang perlu membuat perancangan secepat mungkin, menggunakan penerbangan komersial, kecuali mereka bersedia untuk terus berada di negara ini untuk tempoh yang tidak dapat ditentukan.
“Kami bersyukur kerana penerbangan komersial masih ada walaupun sangat terhad. Jadi penerbangan membawa pulang tidak diaturkan buat masa ini,” kata jurucakap itu menerusi kenyataan kepada Bernama.
Sementara itu katanya, warga AS dilihat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PPP) yang dikuat kuasa di negara ini.
“Kami sangat menghargai sokongan berterusan Malaysia kepada rakyat Amerika dan kedutaan AS dalam masa yang mencabar ini,” katanya.
Sebarang bantuan kecemasan atau pertanyaan, warga AS di Malaysia boleh menghubungi talian 60-3-2168-5000 atau e-mel [email protected].
— BERNAMA