Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KPDNHEP Boleh Laksana Mekanisme Kawalan Harga Dalam Tempoh PKP

By 18 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 18 Apr (Malaysiaaktif) РKementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh melaksanakan mekanisme kawalan harga pada bila-bila masa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya berlaku kenaikan yang tidak munasabah ke atas mana-mana barangan keperluan dalam tempoh tersebut.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini menyebut bahawa mekanisme itu akan dilaksanakan seperti Skim Harga Maksimum semasa musim perayaan sebelum ini.

Beliau berkata sebanyak 25,543 meliputi peringkat runcit, borong serta kilang telah dijalankan dalam tempoh 18 Mac hingga 15 April 2020 melibatkan pemantauan bekalan dan harga terhadap 25 jenis barangan keperluan dalam empat kategori iaitu makanan kering, barang segar, minuman serta kebersihan dan kesihatan.

“Hasil pemantauan mendapati kedudukan bekalan 25 barangan tersebut adalah mencukupi dalam pasaran,” katanya.

Bagi kategori makanan kering, pemantauan bekalan dan harga yang dilakukan ialah terhadap gula, minyak masak, tepung gandum, beras, susu tepung, biskut, sardin, mi segera serta roti putih.

Kategori barang segar ialah ayam, makanan sejuk beku, sayur-sayuran, telur, bawang dan susu segar manakala kategori minuman ialah air mineral, malt coklat jenama milo dan kopi/teh.

Bagi kategori kebersihan dan kesihatan pula ialah cecair pembasmi kuman, penutup hidung dan mulut, tisu basah, tisu tandas, lampin bayi, lampin dewasa dan paracetamol (panadol).

Nanta berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, sejumlah 2,300  pegawai penguat kuasa KPDNHEP telah digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas barangan keperluan di seluruh negara bagi memastikan bekalan mencukupi serta tiada peniaga yang sengaja menaikkan harga atas alasan tertentu.

Beliau berkata pemantauan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“KPDNHEP memberi tumpuan berterusan dalam memastikan bekalan barangan keperluan rakyat mencukupi dan harga barang terkawal semasa PKP Fasa 3 (sehingga 28 April),” katanya.

—¬†BERNAMA

Tinggalkan komen anda