
PUTRAJAYA, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Dua nelayan dilapor hilang selepas sebuah bot nelayan tempatan kelas B bernombor pendaftaran KF 2295 yang dinaiki mereka disyaki karam di kawasan perairan berhampiran Pulau Segantang, Langkawi semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata Pusat Penyelaras Mencari Dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 11.15 pagi sejurus menerima maklumat daripada Balai Polis Kuala Kedah selepas laporan dibuat oleh pemilik bot nelayan tersebut.
“Operasi mencari dua nelayan itu, Zainol Salleh, 39, dan Mohd Isa Mohamad, 50, disambung pada jam 7.30 pagi tadi, selepas dihentikan pada 7.30 malam semalam.
“Operasi meliputi sektor carian seluas 202 batu nautika dan melibatkan bot Kilat 6 milik APMM Kedah dan Perlis, sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia serta sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Zulinda berkata APMM memandang serius terhadap sebarang kecemasan di laut, justeru orang ramai terutama komuniti maritim dinasihat supaya sering mengambil langkah persediaan awal ke laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di laut memandangkan cuaca pada masa kini yang tidak menentu.
“Para nelayan juga dinasihati supaya sentiasa membawa jaket keselamatan setiap kali turun ke laut. Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-966 5307,” katanya.
— BERNAMA