Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)/IKM Sik
SIK, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Institut Kemahiran MARA (IKM) Sik mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka untuk digunakan anggota kesihatan barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.
Pengarah IKM Idris Alias, berkata inisiatif ini merupakan salah satu sumbangan kecil pihaknya dalam memberikan sokongan padu kepada petugas kesihatan yang bertungkus lumus berjuang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat ketika menghadapi pandemik ini.
“Pelindung muka yang dihasilkan ini merupakan antara komponen penting pelindungan diri yang perlu dipakai oleh anggota kesihatan bersama kelengkapan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) sebagai langkah perlindungan keselamatan untuk mengelakkan terdedah secara langsung dengan virus ini.
“Prihatin terhadap masalah kekurangan pelindung muka yang dihadapi oleh Klinik Kesihatan (KK) Jeniang, memanggil kami tampil membantu memandangkan ia merupakan keperluan petugas barisan hadapan bagi mengelak risiko jangkitan wabak ini,” katanya ketika dihubungi di IKM Sik, di sini semalam.
Idris berkata, Jawatankuasa Community Social Responsibility (CSR) IKM Sik dibantu kakitangannya bertungkus lumus menyiapkan peralatan serta pelindung muka ini.
“Sebanyak 100 set pelindung muka berjaya dihasilkan dan akan diserahkan kepada KK Jeniang, untuk digunakan oleh petugas-petugas barisan hadapan bagi memerangi penularan wabak COVID-19 ini.
“Selain dapat membantu petugas-petugas kesihatan mendepani ancaman virus tersebut, dapat juga kami mengisi masa terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan aktiviti seperti ini dan memberi sumbangan kecil buat negara dalam berdepan dengan cabaran yang besar ini,” katanya lagi.
-SH