
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan keputusan International Olympic Committee (IOC), International Paralympic Committee (IPC) dan Tokyo 2020 Organizing Committee yang telah menetapkan 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 sebagai tarikh Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan 24 Ogos hingga 5 September 2021 sebagai tarikh Sukan Paralimpik Tokyo.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata dengan penetapan tarikh baharu tersebut yang melebihi tempoh setahun dari sekarang dipercayai memberi ruang dan masa yang cukup untuk pihak penganjur, atlet, pegawai dan semua pemegang taruh untuk mengatasi cabaran yang sedang dihadapi kesan daripada wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.
“Saya juga menyambut baik keputusan bahawa atlet-atlet yang telah layak sebelum ini diberi jaminan pengesahan untuk bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 tahun hadapan. Walau bagaimanapun, proses kelayakan untuk atlet-atlet yang belum layak bagi memenuhi kuota jumlah penyertaan pada kedua-dua temasya masih sedang dibincang dan dipertimbangkan oleh Persekutuan Sukan Antarabangsa (IF) masing-masing bersama IOC dan IPC dalam mencapai kesepakatan bagi memutuskan proses kelayakan yang adil dan terbaik bagi semua pihak untuk sukan yang masih memerlukan proses kelayakan tersebut.
“Keputusan ini juga memberi ruang yang selesa buat semua pihak untuk mengatur semula perancangan program latihan dan pertandingan termasuk proses kelayakan atlet yang tertangguh berasaskan tarikh baharu tersebut,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
KBS menyokong usaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) supaya pihak IOC dan IPC dapat memberikan pertimbangan agar negara mendapat peluang kelayakan yang terbaik buat atlet-atlet Malaysia ke temasya sukan berprestij itu nanti.
“KBS, MOM dan MPM akan terus bekerjasama rapat memastikan kesiapsiagaan kontinjen Malaysia berada pada tahap terbaik dalam kita merealisasikan impian pingat emas pertama Malaysia untuk Olimpik dan juga memastikan pencapaian tiga pingat emas semasa Paralimpik Rio 2016 yang lalu dapat dikekalkan atau ditingkatkan lagi pada Paralimpik Tokyo nanti,” tambahnya.