Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM
PUTRAJAYA, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 58 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 537 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham, berkata terdapat 140 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,766 kes.
“Sehingga kini, seramai 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 kes memerlukan bantuan pernafasan dan sehingga kini terdapat pertambahan enam lagi kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 43 kes,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan setelah dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jabatan mendapati jumlah kes harian terus meningkat dan kadang kala mendatar, manakala jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari.
“Data ini menunjukkan kesan daripada aktiviti yang dijalankan oleh KKM dan pelbagai agensi dalam tempoh satu bulan belakangan ini, namun tempoh dua minggu yang seterusnya adalah mustahak, di mana ia akan menentukan sama ada tindakan yang diambil oleh kerajaan setakat ini memberi impak yang diharapkan.
“Statistik juga menunjukkan terdapat dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi kes positif COVID-19 iaitu lingkungan 26 sehingga 30 tahun dan juga 56 sehingga 60 tahun,” katanya lagi.