Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Berdasarkan keputusan kerajaan membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi yang terkandas susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memberi perhatian kepada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) untuk digerakkan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing secara berperingkat mulai 4 Mei ini dengan pembiayaan kerajaan.
Kementerian tersebut menerusi satu kenyataan media memaklumkan peringkat pergerakan ini tertakluk kepada status zon semasa pergerakan dan zon yang hendak dituju oleh pelajar.
“KBS ingin menasihati pelajar yang masih terkandas supaya menghubungi atau melapor diri ke ILKBS yang berhampiran penempatan semasa mereka bagi membolehkan pihak ILKBS menguruskan penginapan dan makan minum sehingga pergerakan pulang pelajar diuruskan.
“Memandangkan tiada sesi pengajian fizikal dilaksanakan sepanjang tempoh PKP, pihak KBS telah menyediakan penjadualan semula kemasukan pelajar secara berperingkat iaitu pada Jun dan Julai 2020 melibatkan seramai 7,722 orang pelajar, bertujuan meminimakan jumlah pelajar di dalam kampus serta mengekalkan penjarakan sosial seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membendung penularan COVID-19,” menurut kenyataan tersebut.
KBS turut memaklumkan pembayaran elaun bulanan kepada pelajar ILKBS tetap diteruskan sepanjang tempoh PKP dengan pembayaran elaun dipercepatkan mulai bulan Mac 2020.
“Sehubungan itu, pelajar tidak perlu risau mengenai ketiadaan elaun sepanjang tempoh pengajian mereka kerana penyusunan akademik telah diambil kira oleh KBS semasa mengurus jadual pengajaran dan pembelajaran sepanjang krisis COVID-19 melanda negara,” tambah kenyataan itu.