Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 29 Apr (Malaysiaaktif) – Gara-gara ingin menyambut hari lahir rakan di sebuah inap desa, empat lelaki termasuk dua warganegara asing, masing-masing didenda RM700 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yeop Lip Gang Bradley, 26, Derick Loh Wei Chun, 27, serta dua warganegara Taiwan Tsai Mu Teng, 33, dan Wang Wei Hung, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa, di hadapan Majistret Normaizan Rahim.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan anggota polis mendapat aduan daripada orang awam mengenai kegiatan keluar masuk penghuni yang tidak dikenali di kawasan perumahan di Taman Tiara Kemensah Rimba, Ampang dalam daerah Hulu Langat di sini, pada 5 petang, 17 April lepas.
Ketika tangkapan dibuat terhadap keempat-empat tertuduh, mereka memberikan alasan ke rumah tersebut bagi menyambut hari lahir rakan, yang pada ketika itu belum tiba di situ dan kesemua tertuduh tidak tinggal di situ sebaliknya telah menyewa inap desa tersebut melalui aplikasi Airbnb.
Mereka didakwa di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, mengikut Peraturan 11(1) Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Di mahkamah sama, seorang pengawal keselamatan didenda RM1,500 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah berkelakuan tidak senonoh dengan menghina dan mengeluarkan perkataan lucah terhadap anggota polis Lans Koperal Zulkifli Hasan, yang sedang melaksanakan tugasnya serta ingkar PKP.
K. Vijayan, 35, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di hadapan balai polis Taman Melawati, Ampang, di sini, pada 10.50 pagi, 23 April lepas.
Bagi pertuduhan mengeluarkan kata kesat kepada anggota polis, Vijayan didenda RM500 atau penjara sebulan, manakala kesalahan ingkar PKP, dia didenda RM1,000 atau penjara sebulan.
Mengikut fakta kes, ketika anggota polis itu menghampiri tertuduh yang di bawah pengaruh alkohol, dia telah mengeluarkan kata kesat serta mengugut untuk membunuh anggota polis berkenaan, serta mengajaknya bertumbuk.
Vijayan dituduh mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Di Mahkamah Kuala Lumpur, seramai 45 individu dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan ingkar PKP dengan berhimpun dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain, dengan pelbagai alasan termasuk mahu mengambil baju di rumah rakan, memberi wang kepada bapa dan mengambil susu di rumah ibu.
Seramai 40 tertuduh termasuk seorang wanita didenda antara RM700 hingga RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda, selepas mereka mengaku bersalah ingkar PKP, manakala tiga lagi lelaki dipenjara tiga hari dan sebulan bermula dari tarikh tangkap pada 15 April, atas tuduhan sama.
Sementara itu, dua lagi lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ingkar PKP dan mahkamah menetapkan 11 dan 22 Jun untuk sebutan semula kes.
Kesemua mereka termasuk warganegara Pakistan, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh berumur lingkungan 19 tahun dan 40 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Jalan Bukit Bintang, Setapak, Keramat, Wangsa Maju dan Brickfields, pada pukul 1.10 pagi hingga 11 malam, antara 15 April dan 28 April.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad, Nurliyana Mohd Jafri dan Hanis Anisha Jamilludin.
— BERNAMA