Laporan/foto : Shah Hood/MedKom (Johor Bahru)
ISKANDAR PUTERI, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri bakal menubuhkan bank digital bagi merancakkan lagi ekonomi pasca COVID-19 di negeri ini.
Menurut Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad penubuhan bank digital ini akan menjadikan sektor kewangan lebih inklusif dan berupaya untuk memberikan khidmat kewangan yang berkualiti bagi semua segmen pasaran.
“Perbankan digital yang merangkumi bidang teknologi kewangan atau fintech adalah antara sektor yang sedang berkembang pesat di negara ini.
“Oleh itu kerajaan negeri haruslah menerokai dan menceburi bidang ini yang mempunyai potensi yang tinggi serta meluas di mana ia juga merupakan sebahagian daripada norma baharu pasca COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Tambah beliau lagi, sudah tiba masanya pertumbuhan ekonomi serantau seperti SIJORI diaktifkan semula untuk menerokai potensi yang masih ada di Singapura, Johor dan Indonesia.
“Kerajaan negeri juga menyedari kerjasama ekonomi ini haruslah dilakukan dengan lebih terbuka, terangkum dan inovatif.
“Johor tidak boleh bersendirian dalam mereformasikan sektor ekonomi pasca COVID-19 ini, justeru itu kerjasama antara negara serantau serta perkongsian kebijaksanaan menerusi kestabilan politik dan hubungan diplomatik yang matang antara satu sama lain mampu memastikan ia berjalan lancar,” ujarnya.
-NI-