
Laporan/foto: Mohd Nor Hidayat Bidin/Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Setiausaha Kehormat Abdullah Ali yang mewakili Yang Dipertua Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis Ruzaini Rais telah menyerahkan sumbangan berupa cek bernilai RM500 bagi menghargai khidmat para petugas barisan hadapan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri (JaPen) Perlis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurut Abdullah, sumbangan ini merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada para petugas JaPen Perlis yang telah bertungkus lumus membuat hebahan menggunakan unit bergerak sepanjang tempoh PKP dilaksanakan bermula 18 Mac yang lalu.
“Bagi pihak kami, anggota Jabatan Penerangan juga dianggap sebagai petugas barisan hadapan yang merupakan wira tak didendang dalam membantu pihak kerajaan menyebarluaskan maklumat berkenaan COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan langkah bagi menangani penularan wabak ini.
“Walaupun jumlah sumbangan yang diberikan tidak setanding dengan usaha dan khidmat yang diberikan, saya berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu para petugas melakukan gerak kerja yang berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi arahan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya lagi ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan, di sini, hari ini.
Pengarah Penerangan Negeri Perlis Azrul Hasan berkata, beliau amat berterima kasih kepada pihak Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis yang menghargai jasa dan khidmat Jabatan Penerangan sepanjang PKP dilaksanakan.
“Hebahan unit bergerak ini akan tetap dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat terus patuh pada arahan PKP dan seterusnya memutuskan rantaian wabak COVID-19.
“Marilah kita berganding bahu bersama-sama pihak kerajaan dan berdoa agar negara ini bebas dari virus berbahaya ini,” ujarnya lagi.
-NI-