Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

SPM/SPMV Ditunda, UPSR/PT3 Dibatalkan

By 15 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini, untuk calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021 termasuklah Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“KPM juga ingin memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan.

“Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

“Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah  Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata,” menurut kenyataan tersebut.

Menyedari penundaan tarikh peperiksaan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma ehingga Julai atau Ogos 2021 manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021.

“Keputusan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM, manakala sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

“Pembukaan semula sesi persekolahan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah kenyataan tersebut.

Tinggalkan komen anda