Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat di masjid-masjid seluruh Negeri Selangor tahun ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata keputusan tersebut diambil atas faktor keselamatan susulan penularan COVID-19 yang belum dapat dibendung sepenuhnya sekali gus mengelak rakyat berisiko terkena jangkitan.
“Bagaimanapun, sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan yang memerlukan akan diteruskan, cuma ia tidak akan disampaikan pada majlis berbuka puasa seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan agihan zakat dan bantuan Hari Raya sebanyak RM500.00 kepada setiap penerima dengan kaedah pengkreditan terus ke akaun-akaun bank penerima.
“Manakala, bagi penerima yang tidak memiliki akaun bank, Lembaga Zakat Selangor akan memberikan baucar tunai untuk dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Melalui kenyataan itu, Mohamad Munir berkata, secara tradisinya Sultan Sharafuddin Idris Shah mengadakan majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan fakir miskin pada bulan Ramadhan setiap tahun.
“Sultan Selangor turut menasihati umat Islam agar menyambut Ramadan dengan menumpukan amal ibadat di samping mematuhi panduan dan arahan terkini kerajaan.
“Baginda turut mendoakan agar seluruh rakyat dijauhi daripada bala bencana serta dilindungi Allah serta berharap wabak COVID-19 yang melanda negara ini segera berakhir supaya rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa, sihat sejahtera, aman dan sentosa,” katanya.
-SH