Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/UIAM
GOMBAK, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menghasilkan prototaip robot yang boleh membantu petugas barisan hadapan berdepan pesakit COVID-19 dengan membuat saringan dari jarak jauh.
Robot yang diberi nama MediBot dibangunkan sekumpulan pakar robot Kulliyyah Kejuruteraan dan Kulliyyah Teknologi Maklumat Komunikasi (KICT) melalui projek diterajui Centre Unmanned Technologies (CUTe) UIAM.
Seorang penyelidik, Dr Hasan Firdaus Mohd Zaki, berkata idea ini tercetus apabila melihat bebanan petugas kesihatan bertarung untuk merawat pesakit COVID-19, malah turut terdedah dijangkiti virus pandemik itu.
“Medibot ini dilengkapi alat kawalan jauh bervisual membolehkan doktor berinteraksi secara ‘tele sidang’ dengan pesakit tanpa perlu bersemuka kerana ianya dilengkapi sistem pembesar suara dan mikrofon berfrekuensi tinggi.
“Ianya turut dilengkapi dengan sensor thermal untuk mengesan suhu badan manusia dan sistem penggera sekiranya pesakit tersebut mencapai suhu badan yang tinggi.
“Medibot mempunyai sistem semburan nyah kuman yang boleh diguna pakai di dalam bangunan atau kawasan terbuka selain dilengkapi dengan sinar UV-C,” katanya.
Dr Hassan berkata penghasilan Medibot dapat membantu petugas kesihatan ketika memberikan rawatan kepada pesakit dari jarak jauh di samping membantu membersihkan kawasan sekitar agar sentiasa bebas kuman.
“Paparan skrin, kamera jarak jauh dan sistem telekomunikasi yang terdapat pada Medibot dapat mengurangkan risiko kepada petugas barisan hadapan.
“Robot ini akan ditempatkan di Pusat Perubatan UIAM (IIUMMC) di Kuantan untuk frasa permulaan dan proses pembangunan seterusnya,” jelasnya.
-NAZ