
Laporan/Foto: Khairudin AM (Negeri Sembilan) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
PORT DICKSON, 1 April (Malaysiaaktif) – Prihatin dengan keselamatan petugas barisan hadapan menghadapi wabak Covid-19, pensyarah Jabatan Kejuteraan Mekanikal (JKM) dan Jabatan Kejuteraan Elektrik (JKE) Politeknik Port Dickson telah memanfaatkan masa terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghasilkan perisai muka untuk kegunaan petugas perubatan.
Menurut Pensyarah JKM, Khairun Syatirin Md Salleh, idea menghasilkan pelindung muka ini tercetus apabila peralatan perlindungan peribadi (PPE) di hospital semakin berkurangan.
“Pihak kami turut bekerjasama dengan pihak Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP) melaksanakan inisiatif menyiapkan pelindung muka ini dan lebih banyak kuantiti dapat disediakan untuk disumbangkan kepada petugas perubatan dengan lebih meluas,” katanya.
Tambah beliau lagi, pelindung muka yang menggunakan teknik cetakan tiga dimensi (3D) tersebut boleh dibasuh dan diguna semula, berbanding pelindung muka pakai buang yang sedia ada.
Khairun turut menyeru pengguna mesin cetakan 3D di negara ini berganding bahu dalam usaha meringankan beban kewangan kerajaan dalam menyediakan PPE untuk petugas perubatan.
“Saya percaya ramai rakyat Malaysia yang lain mempunyai mesin cetakan 3D, jika setiap daripada mereka mengambil tanggungjawab ini sudah pasti kita dapat membantu ramai golongan petugas perubatan,” tambahnya lagi.
Pengarah Politeknik Port Dickson, Roslee Yahya, berkata sebagai rakyat Malaysia kita boleh membantu negara dengan pelbagai cara mengikut kemampuan masing-masing.
“Sumbangan pelindung muka ini merupakan salah satu cara bagaimana Politeknik Port Dickson dan KKKP berkerjasama dalam menggunakan kemahiran dan kepakaran yang mereka ada dalam menghasilkan pelindung muka bagi membantu dan menunjukkan penghargaan kepada petugas perubatan,” ujarnya.
Sehingga kini, sebanyak 285 pelindung muka telah diserahkan kepada pihak Hospital Rembau, Pusat Kawalan Polis Hospital Rembau, Klinik Kesihatan Sendayan, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Klinik Kesihatan sekitar Seremban, Sukarelawan Politeknik Port Dickson dan Klinik Politeknik Port Dickson.
-AK