Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Berganding Bahu Demi Rakyat, Akur Titah Sultan – MB Johor

By 15 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shah Hood/Najib Mohaini (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 15 Mei (Malaysiaaktif) –  Kerajaan negeri menjunjung tinggi titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menekankan hal kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi yang terjejas ekoran wabak COVID-19 perlu diutamakan dengan mengelakkan berkonfrontasi.

Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mematuhi nasihat baginda dengan memberi fokus untuk membantu rakyat dan berhenti bertegang urat kerana tindakan itu bakal melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan.

“Baginda mahu semua ADUN agar mendahulukan semangat ‘kekitaan’ dan bukannya mementingkan diri sendiri serta terus memikul amanah dan tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat yang telah diberikan.

“Kita perlu fokus dan berganding bahu untuk membantu rakyat yang susah dan memastikan rakyat mempunyai pekerjaan yang tetap serta peluang ekonomi yang lebih meluas untuk pasca COVID-19,” katanya ketika sidang media selepas perasmian pembukaan Penggal Persidangan Pertama DUN Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismai, di sini semalam.

Suasana Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14.

Suasana Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14.

Hasni memaklumkan, kerajaan negeri juga telah mengusahakan beberapa inisiatif untuk kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi pasca COVID-19, antaranya melibatkan pandangan daripada Ibrahim Johor Economic Council (IJEC).

Digital Johor Blueprint pula akan memberi fokus kepada kemudahan internet yang meluas di mana kita mahu rakyat dapat membiasakan diri dengan normal atau kebiasaan kehidupan baharu dalam menjalankan sebarang urusan berkaitan kerajaan dengan menggunakan aplikasi e-government.

“Kita juga akan memperkasakan Johor Investment Company (JICO) sebagai pemudah cara bagi hubungan perdagangan antara Singapura dan Johor,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, antara lain yang diusahakan oleh kerajaan negeri ialah segitiga pertumbuhan Singapura-Johor-Riau (SIJORI) untuk meningkatkan lagi ekonomi.

“Bagi pengukuhan tulang belakang ekonomi (Bandar Malaysia-Iskandar Malaysia) pula kerajaan negeri akan menghidupkan ekonomi di kawasan Muar, Batu Pahat dan beberapa lagi bandar-bandar pedalaman (inland towns) di negeri ini,” ujarnya lagi.
-NI-

Tinggalkan komen anda