Laporan/foto: Farah Diana, FB Lembaga Perumahan Melaka (Melaka)
MELAKA, 17 Mei (Malaysiaaktif)– Kerajaan Negeri Melaka melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM) telah bersetuju memberikan Insentif Pengurangan Sewa Bulanan sebanyak 50 peratus bagi Rumah Pangsa dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan LPM selama enam bulan mulai Mac 2020 sehingga Ogos 2020.
Menurut kenyataan media Pejabat Ketua Menteri Melaka, pemberian insentif ini berikutan pelanjutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 yang telah menyebabkan pendapatan penyewa-penyewa tersebut terjejas.
“Pemberian insentif ini akan memberi manfaat dan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di negeri Melaka.”
Kenyataan tersebut memaklumkan sebanyak empat projek perumahan yang terlibat iaitu PPR Krubong, PPR Padang, Rumah Pangsa Padang dan Rumah Pangsa Pantai Peringgit.
“Pengurangan sewaan ini melibatkan sebanyak 1471 unit di bawah skim sewaan dengan implikasi kewangan berjumlah RM991,950,” menurut kenyataan tersebut.
Kerajaan Negeri Melaka berharap pemberian insentif pengurangan sewa bulanan ini akan memanfaatkan penyewa dan meringankan beban penyewa dalam tempoh yang mencabar ini, menurut kenyataan itu lagi.
-KN